Wednesday, May 6, 2009

~...Sedekah tidak jadikan kita miskin...~

UMUM mengetahui setiap kita akan mati. Lalu, segala harta yang dimiliki akan ditinggalkan, tidak akan dibawa bersama ke dalam kubur.

Allah SWT berfirman yang maksud-Nya: Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah ibarat sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai 100 biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui.(al-Baqarah: 261)

Nabi Muhammad SAW pun tidak berharta tetapi baginda tetap bersedekah. Dalam satu peristiwa, pernah Nabi memberikan baju yang baru dibeli dan dipakainya apabila didatangi oleh seorang lelaki Arab yang meminta baju itu daripada baginda.

Rasulullah SAW pernah bersabda daripada Abu Hurairah r.a. maksudnya:
Sedekah tidak akan mengurangkan harta seseorang. Sesiapa yang bersikap pemaaf Allah akan menambahkan kemuliaan baginya. Dan sesiapa yang bersikap tawaduk kepada Allah maka Allah akan menaikkan darjatnya. (Sahih Muslim)

Penulis buku terkenal, Robert Kiyosaki dalam bukunya Rich Dad Poor Dad menyatakan dia berpegang teguh dengan prinsip tidak akan berlaku sesuatu kecuali kita mengorbankan sesuatu. Itu berdasarkan pengalaman Kiyosaki yang pada suatu ketika berada dalam ambang muflis. Tetapi dia mencari orang yang merempat tidak berumah dan membantu orang tersebut. Tidak lama kemudian, dia seolah-oleh dibentangkan jalan keluar daripada masalah kewangan yang dihadapinya.

Rasulullah pernah bersabda bahawa senyum itu pun sedekah. Maknanya, sedekah itu tidak terlalu berkait dengan harta.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Setiap makruf itu sedekah, dan orang yang menunjukkan kepada kebaikan seperti orang yang melakukannya, dan Allah mengasihi orang yang membantu orang yang benar-benar memerlukan pertolongan. (riwayat al-Bukhari)

Pernah berlaku pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz walaupun seolah-olah sukar mencari golongan asnaf. Sebabnya iman rakyat ketika itu adalah tinggi dan semuanya tidak mahu terima zakat. Sebaliknya mahu menjadi pembayar zakat.

Hayatilah firman Allah yang bermaksud: Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurnia-Nya dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya, lagi sentiasa meliputi pengetahuan-Nya. (al-Baqarah: 268)

Semasa waktu senang mungkin mereka terlupa mengingat Allah. Ini sebagaimana disebut dalam al-Quran yang maksud-Nya: Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau sewajarnya). Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. Ingatlah, sesungguhnya kepada Tuhamu tempat kembali (untuk menerima balasa).(al-Alaq: 6-7)

Ingatlah firman Allah yang maksud-Nya: Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar. (al-Baqarah: 263)

Jangan pula kita lupa bahawa sedekah itu antara pahala yang mampu sampai kepada kita selepas kita mati kelak.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Apabila mati seseorang anak adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: Iaitu sedekah yang berterusan pahalanya, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan untuknya. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Pada masa yang sama hayatilah kata-kata Saidina Ali, apabila mengukur nikmat Allah, maka lihatlah orang yang lebih rendah atau kurang daripada apa yang kamu ada. Barulah kita tahu, bahawa di sebalik kekurangan dan kesempitan kita, ada lagi orang yang lebih susah daripada kita.

Sumber dari:
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Eksekutif Zakat Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ahmad Husni Abdul Rahman